top of page
KARNIVAL Planet Ummah Masjid Utama “Unity For All”

Tarikh : 03 Disember 2017

KARNIVAL Planet Ummah Masjid Utama “Unity For All”  telah dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan anjuran bersama tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berlangsung di dataran Masjid Putra, Putrajaya bermula pada 30 November sehingga 3 Disember 2017. Karnival ini telah memberi impak yang sangat besar serta menonjolkan masjid memainkan peranan yang penting dalam mengimarahkan tempat ibadah seterusnya sebagai pusat menyatupadukan ummah dalam  institusi menyatupadukan masyarakat di negara ini.

Karnival yang berkonsepkan Islamik ini mampu menarik hampir 20 ribu orang pengunjung ke karnival tersebut dengan menampilkan pelbagai aktiviti yang boleh disertai oleh pelbagai bangsa. Tidak lupa juga pelancong dari luar negara tidak melepaskan peluang untuk mendekati dan mengenali agama Islam dengan lebih dekat terutama kepada masyarakat bukan Islam.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena Karnival Planet Ummah Masjid Utama seperti Forum Perdana Ehwal Islam, Konsert Maulidur Rasul, Kayuhan Unity For All (u4All), trak makanan, Talaqqi Al-Quran Perdana, Ukhuwwah Ihya' Masjid, Senaman Bersama Imam Masjid Utama dan Kuliah Maghrib oleh Ustaz Ebit Liew, pertunjukan fesyen muslimah serta Bicara Kemanusian yang dihadiri penyanyi Khai Bahar.

Karnival ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor di Dataran Putra, Putrajaya dengan melancarkan Aplikasi Etikaf tiga masjid utama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara Malaysia, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai tanda perasmian Karnival Planet Ummah “Unity For All”.

Karnival ini boleh dijadikan sebagai contoh terbaik kepada masyarakat bukan Islam mengenai peranan masjid yang bukan hanya dijadikan sebagai tempat beribadah selain berdakwah kepada masyarakat umum menerusi karnival seperti ini dengan kerjasama dari pelbagai pihak melalui pelbagai penganjuran aktiviti yang bermanfaat dan menguntungkan semua pihak yang terlibat. Selain itu juga dapat memberi peluang terutama kepada usahawan muslim untuk meningkatkan pendapatan mereka serta mempromosikan lagi produk mereka sendiri.

Dalam usaha menjayakan Karnival ini pihak JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya selaku rakan strategik program bersama Kontraktor FM, Mozzpower Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan JAKIM dari segi sokongan teknikal dan memastikan pengurusan majlis berjalan lancar di sepanjang program ini. Pihak JAKIM telah mengeluarkan sijil penghargaan kepada JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai tanda penghargaan membantunya dalam menjayakan program ini.

bottom of page