top of page
Laporan Lawatan Indoor Air Quality 

Tarikh : 28-29 Mac 2018

Pada 28 Mac 2018, Bahagian Kejuruteraan Elektrik dan Senggara Zon 3, JKR WP Putrajaya (Zon 3) telah menjemput pihak Harta Maintenance Sdn Bhd untuk mengadakan lawatan di beberapa bangunan bawah seliaan Zon 3. Syarikat Harta Maintenance Sdn Bhd. adalah sebuah syarikat yang beribupejabat di Taman Sri Batu Caves, Gombak dan mempunyai kepakaran dalam bidang Indoor Air Quality (IAQ). Tujuan sesi lawatan tersebut adalah untuk menguji Indoor Air Quality (IAQ) dan mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan bagi sistem pengudaraan dalam bangunan. Bangunan-bangunan yang terlibat adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (4G1 & 4G2), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (4G8), Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra WP 1) dan Masjid Putra.

           

Sesi lawatan IAQ diadakan bermula dengan bangunan 4G1 & 4G2 di mana kontraktror penyenggaraan bangunan tersebut adalah KCJ Engineering Sdn. Bhd. Pemilihan lokasi bagi sesi lawatan IAQ adalah berdasarkan isu dan aduan yang dihadapi di bangunan tersebut iaitu terdapat kulat di bilik mesyuarat dan keadaan bau tandas yang tidak menyenangkan pihak pelanggan. Oleh itu, fokus lawatan IAQ adalah bilik mesyuarat, Bilik AHU dan tandas di bangunan tersebut.

           

Lawatan IAQ kemudian diteruskan di bangunan 4G8. Lokasi yang dikunjungi oleh wakil syarikat Harta Maintenance Sdn. Bhd. adalah tandas aras bawah di mana terdapat aduan berkenaan bau tandas yang tidak menyenangkan oleh pelanggan.

Pada 29 Mac 2019, lawatan diadakan di bilik Bag & Mail yang bertempat di blok WP1, Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra. Antara yang hadir dalam sesi lawatan tapak ini adalah Ir Shamsuriee bin Sulaiman (Ketua Jurutera Elektrik, Bahagian Kejuruteraan Elektrik dan Senggara Zon 3, JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya), Encik Tan Yeong Yong (Jurutera Elektrik), Encik Sophian bin Abdul Majid (Penolong Jurutera Mekanikal), Encik Abdul Hadi (Verifier) dan wakil daripada Kementerian Luar Negeri.

Tujuan lawatan ini adalah untuk memeriksa dan mengukur kualiti udara di dalam bilik Bag & Mail. Menurut wakil daripada Kementerian Luar Negeri, sistem penyaman udara bilik tersebut menggunakan sistem Centralized AHU. Aktiviti yang selalu dilakukan dalam bilik ini adalah membungkus dan membuka bungkusan yang diterima dan dihantar ke seluruh Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara.

Setelah itu, Harta Maintenance Sdn. Bhd. turut membuat lawatan ke Masjid Putra, Putrajaya pada hari yang sama. Lokasi yang terlibat dalam lawatan tersebut adalah Bilik VVIP dan Holding Room Foyer Auditorium. Lokasi ini terpilih untuk kajian adalah disebabkan terdapat aduan bau kurang menyenangkan dan kelembapan bilik yang kurang selesa. Setelah pemeriksaan dijalankan, didapati suhu bilik adalah dalam keadaan yang kurang selesa, kekurangan pergerakan udara dan mempunyai kandungan habuk di luar frekuensi yang dibenarkan. Perkara ini berlaku berkemungkinan disebabkan kedudukan Masjid Putra yang dibina di atas tasik dan menyebabkan berlakunya penguwapan kepada karpet di dalam kawasan Masjid Putra. Antara yang hadir pada sesi lawatan ini ialah Ir. Maslinda binti Mohamed (Jurutera Mekanikal Penguasa), Puan Noor Shamiza binti Othman (Jurutera Awam), Encik Zamri bin Solahan (Assistant Verifier) dan kontraktor penyenggaraan di Masjid Putra, Mozzpower Sdn. Bhd.

Hasil ujian IAQ yang dijalankan oleh pihak Harta Maintenance Sdn Bhd. ke bangunan-bangunan tersebut menunjukkan kualiti udara dalam kebanyakan bilik ini mengandungi banyak habuk dan sistem pengudaraan yang kurang baik. Walau bagaimanapun, pihak Harta Maintenance Sdn Bhd mencadangkan penambahbaikan seperti sistem kipas exhaust dipasang di dalam bilik tersebut bagi meningkatkan kualiti udara di dalamnya. Aktiviti-aktiviti lawatan IAQ tersebut telah memberi kesedaran bahawa pentingnya menjaga kualiti udara dalam sesebuah bilik di samping memastikan kesihatan dan keselesaan pelanggan bangunan tidak terganggu.

Berita disediakan oleh:

Bahagian Senggara Zon 3

JKR WP Putrajaya

bottom of page