top of page
Lawatan Ke Kilang Ligetech Automation Sdn. Bhd.
Di Taman Industri Malim Jaya, Melaka.

Tarikh : 05 Mei 2018

5 MEI 2018 – Bahagian Kejuruteraan Elektrik dan Senggara Zon 3 dari Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Putrajaya telah mengadakan lawatan ke Kilang Ligetech Automation Sdn. Bhd. (LigLED) di Taman Industri Malim Jaya, Melaka bagi meningkatkan pengetahuan dan mengenali dengan lebih dekat tentang produk lampu LED jenama Ligled yang merupakan salah satu jenama keluaran tempatan. Lawatan ke kilang tersebut dihadiri oleh 27 peserta diketuai oleh Ketua Jurutera Elektrik, Ir. Shamsuriee bin Sulaiman.

 

Pada jam 7.30 pagi, semua peserta berkumpul di ruang lobi pejabat dan menaiki bas dan seterusnya bertolak ke kilang tersebut pada 8.00 pagi. Perjalanan ke kilang tersebut mengambil masa kira-kira 2 jam.

 

Sesi telah dimulakan dengan kata-kata aluan dari pihak Ligled sebelum diteruskan dengan sesi pengenalan dengan lebih mendalam tentang sejarah syarikat dan juga produk-produk lampu LED yang dihasilkannya. Terdapat pelbagai jenis lampu LED keluaran syarikat ini yang telah berada di pasaran dan mendapat permintaan yang tinggi dari semasa ke semasa. Sebelum memulakan lawatan ke kilang, peserta diberi peluang untuk melontarkan sebarang persoalan tentang produk-produk tersebut.

Seterusnya adalah sesi lawatan ke kilang yang memakan masa selama hampir 40 minit. Ketika di kilang, penerangan diberikan mengenai proses penghasilan lampu LED ini dari peringkat awal (raw material) hingga peringkat akhir (packaging) termasuk jenis-jenis ujian yang dilakukan untuk memastikan produk ini menepati piawai yang telah ditetapkan. Peserta turut diberi peluang melihat dengan lebih dekat tentang pelbagai jenis lampu LED yang dihasilkan untuk setiap jenis kegunaan.

 

Di akhir program, peserta diberikan Sijil Penyertaan oleh pihak LigLED sebelum ucapan penutup dan kata-kata akhir diberikan oleh kedua-dua belah pihak. Diharap lawatan ini dapat meningkatkan lagi pengetahuan kepada peserta dalam menjalankan tugas harian. Juga, jutaan terima kasih diucapkan kepada syarikat LigLED atas perancangan dan susunatur program ini.

Berita disediakan oleh:

Bahagian Senggara Zon 3

JKR WP Putrajaya

bottom of page