top of page
Penilaian Anugerah Kontraktor Cemerlang Kategori Pengurusan Fasiliti Bangunan

Tarikh : 30 Januari 2018

Penilaian bagi Anugerah Kontraktor Cemerlang 2018 (Pengurusan Fasiliti Bangunan) bagi pencalonan di bawah Senggaraan Bahagian Senggara Zon 2 telah dijalankan sebanyak dua sesi, yang melibatkan sebanyak dua pencalonan kontraktor penyenggaraan. Sesi pertama dijalankan pada 19 Januari 2018 yang telah melibatkan kontraktor Rantau Arau Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menyenggara bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Presint 3. Manakala sesi kedua pula, berlangsung pada 26 Januari 2018 di bangunan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di Presint 2 yang di senggara oleh kontraktor Ikha Ventures Sdn. Bhd.  

 

Penilaian calon-calon kontraktor cemerlang bagi tahun 2018 ini telah dinilai oleh pegawai-pegawai yang telah dilantik khas daripada Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur. Sesi taklimat keselamatan yang telah disampaikan oleh pihak kontraktor sebelum bermulanya sesi pembukaan penilaian kontraktor. Pembukaan penilaian telah berlangsung dengan mesyuarat pembukaan sebagai pengenalan, yang telah dipengerusikan oleh Wakil Pegawai Penguasa JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu Ir. Lai Liang Koong, merangkap sebagai Ketua Bahagian Senggara Zon 2. Selain itu, pihak kontraktor juga telah memberikan sedikit taklimat serba ringkas mengenai pengenalan pihak kontraktor dan aktiviti senggara yang dijalankan.

 

Seterusnya, sesi penilaian diteruskan dengan penilaian dokumentasi kontraktor dan sistem berkaitan serta inovasi yang telah dicipta dan telah digunapakai di tapak. Antara sistem yang digunapakai dan dinilai oleh panel penilai adalah Sistem Pengurusan Fasiliti Berpusat (SPFB) JKR, Building Consumption input System (BCiS), e-selenggara bagi bangunan MOF sahaja dan rekod-rekod pengurusan dan perancangan fasiliti kontraktor.

 

Sesi penilaian kemudian bersambung pada sebelah petang dengan membuat lawatan tapak dan bilik-bilik operasi senggara yang terdapat di bangunan berkenaan. Antaranya adalah Bilik Building Management System (BMS) / Building Control System (BCS), Bilik Genset, Bilik Pam, Bilik Panel Penggera Kebakaran Utama, Perangkap kilat di bumbung bangunan dan lain-lain lagi. Sesi penilaian berakhir dengan mesyuarat penutup setelah kesemua lawatan tapak dan penilaian dokumentasi selesai dijalankan.

 

Diharap anugerah yang dianjurkan seperti ini akan memberikan kesan yang positif kepada semua kontraktor fasiliti bangunan untuk bersaing dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan memberikan kepuasan kepada pelanggan, sekaligus mengharumkan nama JKR Malaysia.

 

Berita disediakan oleh;

Pn. Nur Afiqah Amira Binti Ismail

Jurutera Mekanikal (J41)

Bahagian Senggara Zon 2

bottom of page