top of page
Perasmian & Penyerahan Projek Pembinaan Tambahan 35 Bilik Darjah

Tarikh : 20hb Mac 2021 (Sabtu)

 

Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Tambahan 35 Bilik Darjah & Peruntukan Penyelenggaraan Untuk Sekolah-Sekolah Di WP Putrajaya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diadakan pada 20 Mac 2021 bertempat di Everly Hotel Putrajaya disempurnakan oleh YB Dr Mohd Radzi Jidin, Menteri Pendidikan Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh YBhg Dato Timbalan Menteri Pendidikan II, YBhg Dato KPKR, YBhg Dato KSU KPM, YBrs Pengarah JKR WP Putrajaya, Pengurusan Tertinggi KPM, Cawangan Kerja Pendidikan Ibu Pejabat JKR Malaysia dan Pasukan Pengurusan Projek JKR WP Putrajaya.

Pembinaan bangunan bilik darjah tambahan ini melibatkan 5 buah sekolah rendah sekitar Putrajaya iaitu SK Putrajaya Presint 14(1), SK Putrajaya Presint 17(1), SK Putrajaya Presint 5(1), SK Putrajaya Presint 9(2) dan SK Putrajaya Presint 18(1) dimana pembinaannya menggunakan kaedah PPVC yang merupakan pertama kali di laksanakan untuk pembinaan bangunan Kerajaanan. Teknologi Pembinaan Volumetrik Prafabrikasi Prasiap (PPVC) dimana struktur bilik darjah dilengkapi lampu dan kipas dipasang di kilang sebelum dibawa ke sekolah untuk ditempatkan di kawasan yang telah ditentukan sebagai bilik darjah tambahan.

Tempoh pelaksanaan projek ini adalah selama 15 minggu dalam suasana negara menghadapi cabaran pandemik Covid-19 namun atas kesungguhan dan komitmen yang berterusan daripada Pasukan Projek JKR WP Putrajaya dan pihak kontraktor akhirnya projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak kontraktor dan juga semua Kakitangan JKR WP Putrajaya yang terlibat secara langsung serta tidak langsung demi memastikan projek ini siap sepenuhnya dan dapat memenuhi kehendak pihak pelanggan untuk memberikan keselesaan kepada murid yang akan menggunakan bilik darjah ini.

Terima Kasih juga diucapkan kepada pihak Perbadanan Putrajaya dan juga pihak Bomba Putrajaya dalam memberikan kerjasama serta kelulusan untuk pembinaan projek ini.

 

Berita disediakan oleh:

Unit Pengurusan Strategik & Intervensi (UPSi)

JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya

bottom of page