top of page
Perhimpunan Pagi BIL.3 Tahun 2018

Tarikh : 11 Julai 2018 (Rabu)

Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Putrajaya telah mengadakan Perhimpunan Pagi bil. 3 bagi tahun 2018 bersama Pengarah JKR WP Putrajaya, Y.Bhg. Dato’ Ir. Habbali Bin Ibrahim. Perhimpunan tersebut ini telah dianjur dan diuruskan oleh gabungan antara Bahagian Senggara Zon 2 dan Bahagian Senggara Kuarters. Perhimpunan ini telah diadakan di ruang legar aras 3, JKR WP Putrajaya. Sesi pendaftaran bermula pada jam 8.30 pagi dan majlis berlangsung pada jam 9.00 pagi.

 

Perhimpunan pagi telah dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Encik Alias Bin Ab. Kadir, Jurutera Awam Penguasa daripada Bahagian Senggara Zon 2, kemudian diiringi dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Perkhidmatan Awam dan bacaan zikir Asma ul-husna. Acara seterusnya adalah bacaan ikrar penjawat awam yang telah dipimpin oleh Ir. Asha’ari Bin Hj. Hasan, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan.

 

Acara diteruskan lagi dengan ucapan daripada Y.Bhg. Dato’ Ir. Habbali Bin Ibrahim selaku Pengarah JKR WP Putrajaya. Beliau telah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga kerja JKR WP Putrajaya kerana telah memberikan kerjasama yang mantap dan terbaik dalam aspek keselamatan di tempat kerja dan ini telah meletakkan JKR WP Putrajaya sebagai Johan Anugerah Cemerlang Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan Premis JKR 2018.

Perhimpunan pagi diteruskan lagi dengan pembentangan daripada Bahagian Senggara Kuarters dengan tajuk pembentangan, Sistem Aduan Kuarters (SAKU) yang dibentangkan oleh Encik Ismail Bin Husaini, Jurutera Mekanikal. SAKU ini telah memenangi beberapa anugerah antaranya adalah pingat emas dalam pameran International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX’18) ke 29 di peringkat antarabangsa dan juga Johan Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) 2017 di peringkat JKR Malaysia. Encik Ismail Bin Husaini meneruskan lagi pembentangan dengan memperkenalkan suatu inovasi baru ciptaan Bahagian Senggara Kuarters yang dinamakan sebagai Mechanical Roding. Inovasi ini dapat menangani masalah saluran perpaipan rumah terutamanya kuarters yang tersumbat berpunca daripada akar-akar pokok yang terdapat di persekitaran.

 

Pembentangan seterusnya telah disampaikan oleh Encik Muhammad Nazri Bin Omar, Jurutera Mekanikal Kanan daripada Bahagian Senggara Zon 2 dengan tajuk pembentangan  Dari Montreal Ke Kyoto. Pembentangan ini adalah bertemakan kesan rumah hijau pada bumi dari alam sekitar yang mengajak manusia untuk melaksanakan penjimatan tenaga. Perhimpunan kali ini telah menampilkan persembahan istimewa daripada kumpulan dikir barat daripada Bahgian Senggara Zon 2 dengan tajuk penjimatan tenaga.

 

Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada warga kerja JKR yang telah melahirkan cahaya mata iaitu Puan Emi Azreena binti Abd Ghani, Arkitek daripada Bahagian Arkitek. Seterusnya penyampaian sumbangan kepada warga kerja JKR WP Putrajaya yang bakal menunaikan haji iaitu Encik Ariffin bin Mohamed Ismail, Jurutera Awam Kanan daripada Bahagian Senggara Zon 1 dan  Encik Ismail Bin Husaini, Jurutera Mekanikal daripada Bahagian Senggara Kuarters. Acara selanjutnya lagi dengan penyampaian cenderahati dan sambutan hari lahir warga kerja JKR WP Putrajaya yang lahir pada bulan Julai. Majlis diakhiri dengan paparan montaj kerjasama warga kerja JKR WP Putrajaya daripada Bahagian Korporat dan majlis bersurai pada jam 10.30 pagi.

Berita Disediakan Oleh

Bahagaian Selenggara Zon 2

JKR W.P. Putrajaya.

bottom of page