top of page
Taklimat Produk:- "Building Concrete & Water Proofing"

Tarikh : 04 Disember 2017

Bahagian Senggara Zon 2 telah mengadakan Taklimat Produk dengan kerjasama Syarikat Sto South East Asia Sdn Bhd yang berlangsung pada 4 Disember 2017, Isnin di Bilik Taklimat Tender Aras 1 Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Putrajaya. Seramai 62 orang staf dan kakitangan JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Pengurus fasiliti telah menghadiri taklimat ini.

Tujuan utama taklimat ini adalah untuk memberi ilmu bahan-bahan binaan dan kaedah yang terbaik serta nilai aestetik dalam menyenggara sesuatu bangunan kepada semua staf dan kakitangan di JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya. Ini dapat membantu bagi meningkatkan kualiti penyenggaraan di bangunan kerajaan khususnya di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Objektif taklimat ini adalah untuk memberi penerangan dan memperkenalkan produk-produk binaan daripada Sto South East Asia Sdn Bhd antaranya adalah, sistem kalis air, pembaikan simen di bangunan, sistem kemasan lantai, sistem fasad dan akustik dalam bangunan.

Sesi pendaftaran peserta telah bermula seawal jam 9 pagi dan para peserta minum pagi sebelum taklimat berlangsung. Taklimat dimulakan dengan ucapan kata-kata aluan oleh Ketua Bahagian Senggara Zon 2, Ir. Lai Liang Koong, Jurutera Awam Penguasa Kanan. Beliau menegaskan bahawa kerja senggara di bangunan kerajaan perlu diambil serius dengan perancangan dan perlaksanaan yang betul terutamanya masalah kebocoran di dalam bangunan akibat kegagalan sistem kalis air di bangunan tersebut.

Pembentangan syarikat sebagai pengenalan telah disampaikan oleh Encik Nazim Bin Ahmad selaku wakil Sto South East Asia Sdn Bhd, Malaysia. Taklimat diteruskan dengan penerangan tentang sistem kalis air dan pembaikan simen yang telah disampaikan sekali lagi oleh Encik Nazim Bin Ahmad. Seterusnya, Encik Stefan Gisin, Pengurus Sto South East Asia Sdn Bhd daripada Ibu Pejabat Singapura telah memberikan taklimat mengenai Sistem Fasad dan Akustik dalam bangunan.

Selain itu, bagi memastikan staf dan kakitangan JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya memperolehi maklumat tambahan, pihak Sto South East Asia Sdn Bhd juga turut membawa sampel-sampel bahan binaan yang berkaitan yang dipamerkan di luar Bilik Taklimat sebagai pertunjukan dan diterangkan lebih terperinci oleh Puan Anny Bt Ariffin dan Puan Sapurah Bt Abdullah.

JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya sangat menghargai usaha baik pihak Sto South East Asia Sdn Bhd kerana sudi memberi taklimat yang bermanfaat kepada kerja-kerja senggara di bangunan kerajaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

bottom of page